Turun lagi 15 sen – PM * Jika harga minyak mentah dunia di bawah AS$109 setong
Oleh HAMDEN RAMLI dan HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 4 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, harga runcit minyak petrol dan diesel mungkin diturunkan lagi sebanyak 15 sen daripada harga semasa, jika harga minyak mentah dunia stabil di bawah paras AS$109 setong sehingga akhir tahun ini.
Beliau berkata, di bawah formula pengiraan subsidi bahan api, semakan semula harga runcit petrol dan diesel akan dilakukan pada 1 Oktober ini atau pertengahan bulan tersebut.
“Harga minyak dunia turun dan naik. Kalau ia kekal AS$109 sehingga penghujung tahun ini, sudah tentu saya akan berasa amat gembira untuk mengumumkan penurunan sebanyak 15 sen daripada apa yang ada sekarang.
“Sama-samalah kita berdoa supaya (minyak dunia) tidak naik, kalau boleh biar turun lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas trend harga minyak dunia pada masa ini yang menurun kepada AS$109 setong berbanding AS$115 setong dua minggu lalu.
Abdullah berkata, harga runcit petrol dan diesel bulan lalu disemak lebih awal pada 22 Ogos bagi membolehkan rakyat mendapat tawaran terbaik dalam soal harga minyak.
“Pada masa itu, trend harga minyak dunia menunjukkan peningkatan dan jika dilengahkan kita khuatir rakyat tidak akan mendapat manfaat apa-apa.
“Jadi saya berpendapat, ini masa terbaik untuk membuat keputusan. Jika kita semak harga minyak pada 1 September seperti dijadualkan, ia akan meningkat sebanyak dua sen iaitu RM2.57 berbanding RM2.55 seperti diumumkan,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter, manakala harga runcit diesel sebanyak lapan sen daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter.


