Thaksin jual Manchester City
LONDON - Thaksin Shinawatra telah menjual kelab Liga Perdana England, Manchester City kepada Kumpulan Abu Dhabi, lapor sebuah laman web perniagaan Asia Barat semalam.
Kumpulan Abu Dhabi United (ADUG) yang menjalankan pembangunan dan pelaburan telah melengkapkan perjanjian lewat malam Ahad lepas bersama bekas Perdana Menteri Thailand itu.
Bagaimanapun terma-terma kewangan tidak dinyatakan.
Perbincangan telah diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Hydra Properties, Sulaiman Al Fahim, yang akan mewakili ADUG untuk menduduki barisan kepimpinan baru kelab England itu.
”Kami akan mengeluarkan segala maklumat selepas ini, tetapi ini satu acara yang bagus untuk kedua-dua, kelab dan juga Abu Dhabi.
”Matlamat kami mudah, menjadikan Manchester City kelab terbesar dalam Liga Perdana England dan memulakan dengan menamatkan liga musim di tangga empat terbaik,” kata Al Fahim kepada Arabian Business.
Thaksin, yang membeli Man City Mei lalu, kini terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah yang berkait dengan undang-undang di Thailand dan kini hidup dalam buangan di London.
Al Fahim berjanji untuk menyelesaikan masalah kewangan kelab, yang telah ditinggalkan Thaksin yang terpaksa meminjam sumber kewangan dari bekas pengurusi kelab itu, John Wardle.
Arabian Business berkata, Thaksin akan kekal sebagai Presiden Kehormat tanpa peranan dalam pentadbiran.
- AP



