Perkukuh hubungan komponen BN
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu segera memperbaiki tahap kepercayaan antara satu sama lain dan berusaha mencari jalan meningkatkan kembali keyakinan rakyat.
Beberapa pemimpin BN melihat ikatan serta semangat antara parti komponen semakin lemah terutama selepas pilihan raya umum Mac lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, sebarang masalah yang wujud antara komponen tidak wajar dibincangkan secara terbuka kerana ia bukan menjadi amalan selama ini.
Katanya, jika didedahkan kepada umum, ia akan hanya mengikis kepercayaan rakyat kepada perikatan itu.
“Walaupun sesuatu perkara itu kurang sedap, tetapi ia tetap perlu dibincangkan secara tertutup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn sedih kerana hubungan antara parti-parti komponen bukannya semakin baik tetapi menjadi tidak menentu.
Mohd. Ali berkata, perlu ada tanggungjawab di kalangan para pemimpin parti komponen BN untuk memastikan tindak-tanduk mereka tidak menyinggung rakan yang lain.
Jelas beliau, pakatan pembangkang mengambil kesempatan penuh daripada situasi sekarang apabila tampil dengan rancangan untuk memperbaiki masalah rakyat sedangkan komponen BN leka bertelingkah sesama sendiri.
Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, semua komponen BN perlu menumpukan usaha untuk mencari sebab mengapa sokongan rakyat ke atas mereka semakin kurang dan menyelesaikan isu itu dengan pantas.Jelas beliau, tuduh menuduh akan hanya menghancurkan BN.
Sejak kebelakangan ini, wujud pandangan-pandangan yang memperlihatkan BN tidak mempunyai perpaduan yang kukuh antara komponennya.
Gerakan misalnya memberitahu ia sedang menimbangkan untuk kekal atau tidak dalam BN dan ahli muda parti itu melihat kekalahan Gerakan dalam pilihan raya umum lalu disebabkan pemimpin BN angkuh dan melakukan salah guna kuasa.
Pemuda MCA Perak pula semalam menggesa pucuk pimpinan Pusat parti itu supaya mempertimbangkan untuk keluar daripada BN sekiranya para pemimpin UMNO, parti politik terbesar dalam gabungan itu, tidak mahu mengubah sikap.
Parti Maju Sabah (SAPP) pula walaupun merupakan komponen BN tetapi secara berterusan menentang pucuk pimpinan tertinggi BN secara terbuka. - Utusan.


