Pemberian 400 hektar boleh lebarkan sikap perkauman
SAYA adalah Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Cawangan Perak amat tidak setuju dengan usaha kerajaan pakatan DAP, PKR dan Pas memberi 1,000 ekar (400 hektar) tanah kepada sekolah persendirian Cina kerana Kerajaan Perak ini tidak memahami sistem pelajaran kebangsaan
yang ingin memperkasa sekolah kebangsaan bagi mewujudkan bangsa Malaysia berpadu.
Pihak Pas, sekutu Pakatan Rakyat tidak menyedari apabila mereka rancangkan sesuatu itu sudah bercanggah dengan konsep Islam yang mereka jaja ke sana sini.
Kini mereka pula yang mewujudkan asyabiah pendidikan negara. Baliklah ke pangkal jalan, perjuangkan Islam sebagaimana diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar bermain politik ingin berkuasa sahaja.
Cara yang diterapkan ini adalah usaha penjajah baru yang berusaha untuk memecahbelahkan rakyat dan kemudian dapat memerintah. Hakikat ini harus disedari oleh semua rakyat yang cintakan negara ini.
Oleh itu, sokongan kepada pihak berkenaan adalah usaha sokong membawa rebah kepada bangsa, agama dan negara.
Usaha Kerajaan Perak ini juga akan melebarkan sikap perkauman dan bertentangan dengan dasar ekonomi baru yang dirancangkan iaitu merapat ekonomi, pendidikan, sosial antara kaum.
Ingatlah Islam dan Melayu telah dijajah lebih 400 tahun sejak Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511 manakala pemulihan kedudukan Melayu/bumiputera telah dilaksana menerusi dasar yang jelas mulai tahun 1971 tetapi kini usaha Pakatan Rakyat pula menghapuskan dasar itu kembali ke dasar penjajahan.
Inilah yang boleh dikaitkan dengan nasib golongan majoriti Melayu yang mula dipinggirkan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak.Masa dijajah dahulu kita merempat; kekayaan dibolot oleh penjajah dan konco-konconya. Kini, inginkah kita balik ke zaman penjajahan British dahulu yang ketika itu hanya makan pagi kais pagi, makan petang kais petang; dan sekolah hanya sekolah atap.


