Pelihara kestabilan politik - TPM

PEKAN 7 Sept. -Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati rakyat memelihara kestabilan politik sedia ada supaya segala yang dinikmati sekarang dapat dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat mampu berbuat demikian memandangkan mereka telah pun berjaya menentukan kestabilan politik negara sejak 51 tahun lalu.

”Jangan sia-siakan apa yang ada hari ini, jangan silap buat perhitungan supaya apa yang kita nikmati hari ini tidak berkecai,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Masjid Kampung Pahang Tua di sini malam ini.

Najib berkata, umat Islam di negara ini harus bersyukur kerana mereka sering mendapat pembelaan kerajaan secara berterusan berbanding di negara-negara Islam lain.

Beliau berkata, sesetengah negara Islam berada dalam kancah peperangan dan perbalahan sedangkan di Malaysia, ia sentiasa aman malah umat Islam dapat menunaikan ibadat dengan selamat.

“Negara Islam yang lain miskin dan daif, ada yang mati sebab kebuluran, penyakit dan tahap kesihatan yang rendah tetapi di Malaysia, kita tak hadapi semua itu, sebaliknya kita berada dalam negara yang aman ditadbir oleh kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi pembinaan masjid baru di kampung tersebut- Utusan.

Leave a Reply