Kit Siang : Tsunami menyerang DAP

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

BUAT sekian kalinya, Lim Kit Siang adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Namun, selepas Tsunami politik menyerang DAP, ketika anaknya berjaya menjadi menjadi Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, kerusi Ketua Pembangkang terlepas ke tangan PKR.

Ketika Kit Siang dan Lim Guan Eng berjaya memukau Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kagum dengan kesederhanaan Guang Eng ketika menyediakan hidangan makan tengahari di Pejabat KM Pulau Pinang, Kit Siang sebenarnnya sudah dua penggal terlepas kerusi Ketua Pembangkang, apabila Pas ‘menawan kerusi itu’ dalam tahun 1999 dan kali ini, PKR pula.

Kit Siang, walaupun ‘tidak berjawatan’ dalam DAP, tetapi sebenarnya ‘dialah pemimpin DAP’ yang control semua, hinggalah jawatan Ketua Pembangkang , ketika DAP menang banyak kerusi, Pengerusi DAP, Karpal Singh hanya dapat ‘menjilat jari’ daripada menduduki kerusi itu.
Kini, selepas saya membaca catatan MP Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dalam http://www.rembau.net.my bertajuk Lim Kit Siang dan Seni Bercakap Tak Serupa Bikin, saya teringat kepada dua ‘nama besar’ dalam Pas yang terkagum dengan Kit Siang dan Guan Eng. Dua pemimpin Pas itu, Mohamad Sabu (Naib Presiden Pas) dan Mahfudz Omar (MP Pokok Sena dan Ketua Penerangan Pas)

Dalam catatan KJ, Kit Siang dalam tahun 2001 pernah membuat desakan supaya Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob (sekarang Tun) supaya berundur dari kerusi Menteri Kabinet kerana ada satu report polis dibuat ADUN Berserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman mengenai penglibatan Khalil dengan rasuah.

Kenapa ya, ketika dua Exco Perak, Osman Mohd Jailu (Exco Perlancongan, Pembangunan Insan dan NGO) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan) dari Pakatan Rakyat (PR) dihadapkan ke mahkamah, Kit Siang tiba-tiba jadi kelu lidahnya untuk berkata-kata.

Sudah berbezakah Kit Siang tahun 2001 dengan Kit Siang 2008? Atau, Kit Siang hanya ‘akan menyerang’ jika mereka itu dari BN tetapi ‘akan mempertahankan’ jika mereka itu dari Pakatan Rakyat.

Saya percaya, apabila Mohamad Sabu dan Mahfudz Omar membaca tulisan ini, mereka berdua akan hilang selera makannya kerana mereka sedang ‘mengkagumi’ pemimpin-pemimpin DAP yang penuh kesederhanaan, kerana belanja makan tengahari di Pejabat KM dengan makanan yang tidak sampai RM10.

Betullah kata bijak pandai dulu-dulu, sekali air bah, sekali pantai berubah. Mohamad Sabu yang pernah didakwa kerana ‘berada dalam keadaan boleh menimbulkan syak’ dengan isteri orang di bilik 121, Perdana Hotel dan Mahfudz Omar ’sudah pandai check-in’ di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, bercakap soal jimat dan sederhana, sedangkan mereka sendiri… ‘teringin juga bermewah-mewah’.

Di kalangan pemimpin Pas, Mahfudzlah yang paling lantang selepas Husam Musa, menyerang Perdana Menteri, kerana hasratnya mahu mempertahankan Ketua Pembangkang, yang menjanjikan dia akan jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahfudz dalam satu rencana dalam Harakahdaily.net, menyerang Perdana Menteri, hingga sanggup menyebut kononnya akan ada ‘Mageran’ jika berlaku lompat parti.

Mohamad Sabu, Kit Siang, Mahfudz Omar dan Guan Eng tidak akan berani menyentuh soal Exco Perak yang menghadapi tuduhan rasuah kerana ‘mereka dari PKR’. Menyentuh PKR, bermakna menyentuh Anwar Ibrahim. Menyentuh Anwar, takut nanti, kalau Anwar jadi PM, Mahfudz dan Mohamad Sabu tidak menjamah kerusi Menteri Kabinet!

Alahai! Kesihan juga menyaksikan tingkah laku Kit Siang. Ketika dia hendak bersuara, jauh di sudut hatinya bimbang kalau-kalau Anwar jadi PM, dia tidak menjamah kerusi Timbalan Perdana Menteri, jika dia membuat desakan supaya Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi ’supaya berundur’ dari kerusi Exco dan Adun yang mereka sandang.

Maklumlah, kedudukan kerajaan PR di Perak, umpama telur di hujung tanduk. Apa-apa terjadi, rebahlah kerajaan PR itu. Apabila bekas MB Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli mempelawa beberapa pemimpin Pas menyertai BN di Perak, bagi menubuhkan kerajaan negeri yang lebih kukuh, melompat seorang dua pemimpin muda Pas membuat report polis.

Tetapi, apabila Anwar mengatakan akan ada pemimpin BN melompat ke PR di peringkat persekutuan, tidak pula kedengaran ada pemimpin-pemimpin muda Pas, melompat membuat aduan polis, sebagai mana mereka lakukan terhadap Mohd Tajol Rosli.

Apakah mereka membuat aduan terhadap Mohd Tajol Rosli atas arahan DAP yang bimbang kehilangan kuasa di Perak? Kesihan pemimpin-pemimpin muda Pas yang terkagum dengan Mohamad Sabu dan Mahfudz Omar manakala Mohamad Sabu dan Mahfudz Omar pula terkagum dengan Kit Siang dan Guan Eng.

Dalam masa yang sama Datuk Seri Haji Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat mungkin ‘belum bersedia melangkah mayat Karpal Singh’.

Mudah-mudahan, mereka yang terliur menanti tarikh 16 September 2008 dan ingin sangat melihat Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri dapat memikirkan semula betapa pentingnya muqabalah, muzakarah dan bertemu muka dengan Umno daripada asyik terkagum dengan Guan Eng dan Kit Siang yang sudah pandai ’seni bercakap tak serupa bikin’.

2 Responses to “Kit Siang : Tsunami menyerang DAP”

  1. Ni la dia cina komunis… bahaya dia ni!!

  2. ulasan yang menarik ..KJ seorg pemimpin yg bijak dan beliau byk membuat kajian kata2 dahulu yg dikata oleh pembangkang dan apabila kena batang hidung mereka ..mereka nak pertahan pulak .itulah cakap tak serupa bikin .

    pembangkang ni kadang2 mereka mudah lupa apa yg depa kata tetapi bila kena kat depa ,buat senyap dan cuba pertahan pulak.

Leave a Reply