Kerajaan Rakyat yang sebenar
Oleh: Gekko
Di dalam perbentangan bajet 2009 yang lalu telah memperlihatkan keperihatinan pihak Kerajaan yang sentiasa memberikan sepenuh tumpuan kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat. Perbelanjaan yang agak besar harus dilaksanakan bagi terus menggerakkan ekonomi negara dan bukan hanya mengambil jalan mudah bagi memenangi hati rakyat. Kerajaan boleh memberikan potongan cukai yang lebih tinggi malah mereka boleh mengurangkan harga bahan bakar dengan lebih banyak lagi tetapi pernahkah kita terfikir mengapa langkah-langkah yang diambil lebih sederhana dengan lebih tertumpu pada jangka masa panjang.
Kekuatan sesuatu Kerajaan bukanlah dengan mendapat kepercayaan secara mendadak dengan mengutarakan isu-isu populis tetapi dengan jangkamasa yang panjang supaya kepercayaan yang terhasil merupakan ikatan yang kuat.
Saya sering terfikir, dalam salah satu langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam perbentangan bajet 2009 ialah dengan memberikan pelepasan kepada pengguna-pengguna elektrik yang menggunakan kuasa elektrik sebanyak RM20 sebulan. Siapa yang menggunakan bekalan elektik sebanyak itu? Saya yang tinggal di apartmen kos sederhana dan tidak menggunakan penghawa dingin mempunyai bil elektrik lebih dari RM30 sebulan. Jawapannya ialah mereka yang tinggal di luar bandar yang benar-benar menggunakan elektrik hanya bagi menerangi malam yang gelap. Tiada ASTRO, tiada penghawa dingin dan sebagainya. Golongan inilah yang diberikan perhatian oleh pihak Kerajaan. Jadi Kerajaan yang menerajui Negara pada masa kini adalah adil? Mungkin, sekiranya sikap mementingkan diri sendiri masih menebal dalam diri kita. Tetapi jika kita membuka mata dan lihat dengan mata hati kita akan nampak apa yang sedang diusahakan oleh Kerajaan kini. Langkah yang dilaksanakan ini akan memberi pelepasan kepada lebih dari 1.1 juta rakyat yang benar-benar memerlukan. Bukankah mereka ini yang lebih memerlukan bantuan dari pihak kerajaan?
Keadaan ekonomi sekarang ni bukanlah begitu baik tetapi masalah ini bukan hanya dihadapi di Malaysia sahaja tetapi ianya berlaku di seluruh dunia. Sebagai contoh Amerika Syarikat dengan kuasa ketenteraan yang amat canggih dan negara yang termaju di dunia masih mempunyai rakyat yang menderita dan tiada tempat berteduh (homeless). Mereka hanya duduk di bawah-bawah jambatan dan mendapatkan bantuan makanan dari pihak kerajaan sepenuhnya. Sebuah kuasa besar di dunia masih mempunyai masalah asas ini. Mengapa? Mengapa mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ini sedangkan mereka sering mengatakan bahawa merekalah yang amat berjaya. Setidak-tidaknya saya lihat di Malaysia ini mungkin ada juga rakyat yang mempunyai nasib yang sama tetapi golongan ini tidaklah begitu ramai.
Saya bukanlah diantara mereka yang menerima imbuhan dalam bajet 2009 yang lalu. Tetapi saya mula sedar apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan yang adil. Tumpuan mereka adalah kepada golongan yang amat memerlukan dan tertekan pada masa kini. Peningkatan harga barang makanan tetap saya rasai dan apabila ini berlaku saya mula merasa marah pada kerajaan tetapi setelah saya berfikir secara mendalam saya mula sedar mengapa pihak Kerajaan tidak mengambil jalan pintas bagi memenangi hati rakyat. Janganlah hanya kerana harga bahan bakar agak tinggi dan harga makanan tidak semurah dahulu dijadikan sebab kita melemparkan tuduhan negatif. Inilah harga yang perlu dibayar bagi kemajuan pada masa kini. Negara yang maju bukan hanya diukur dari jumlah kekayaan yang diprolehi tetapi lebih kepada keadilan yang mampu dilaksanakan. Itulah Kerajaan Rakyat yang sebenar.



Good one… hope the rakyat will understand.
To late to be smart. Tindakan terburu-buru Pak Lah menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter (harga minyak dunia USD125 setong)telah membuatkan rakyat berpendapatan kecil dan sederhana dihimpit tekanan ekonomi. Ini kerana kebanyakan harga barang keperluan telah terkena kesan limpahan dari kenaikan tersebut. Ini ditambah lagi dengan kelembapan penguatkuasa KPDNHEP dalam memantau kenaikan harga barang yang rata-rata mencecah 20 - 40 peratus. Ketika harga petrol diturunkan kepada RM2.55 seliter, tiada penurunan harga barang oleh peniaga. Pada waktu saya menulis komen ini harga minyak dunia telah pun turun kepada USD107 setong. Percayalah, walaupun harga minyak turun semula kepada RM1.92 seliter, harga barang keperluan tidak akan turun kembali.
Naik salah!!! turun salah!!!
Bukan salah…cuma sebagai pemimpin kena bijak mencaturi urusan negara, kerana setiap keputusan memberi kesan kepada rakyat dan negara. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata…. Sepanjang Pak Lah jadi PM, banyak keputusan yang dibuat yang dirasakan kurang bijak, contohnya:-
- Batalkan pembinaan jambatan baru (Gerbang Perdana) ke Singapura.
- Naikkan harga minyak 78 sen (paling tinggi dalam sejarah).
- Ubah portfolio menteri 2 kali dalam tempoh 5 tahun.
- Mencampuri portfolio menteri sehingga menteri sukar buat keputusan.
- Salahkan orang lain selepas ‘tewas’ dalam PRU12.
Hanya orang UMNO mampu selamatkan UMNO. Berusahalah…kembali kepada perjuangan asal.