Senarai Soalan-Soalan ADUN BN Untuk Sidang DUN Selangor

Hutan Simpan

Penerokaan hutan secara haram telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan yang lalu. ADUN Sekinchan telah mendedahkan penerokaan haram tanah hutan seluas lebih 150 hektar di Hutan Simpan Raja Musa. Saya difahamkan ADUN Kota Anggerik yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut melawat sebahagian kawasan tersebut.

a. Apakah tindakan yang telah diambil ke atas para peneroka haram tersebut. Jika tiada tindakan, mengapa?

Hadiah Pengajian IPT

Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi Hadiah Pengajian IPT sebanyak RM 1000.00 kepada anak-anak Selangor yang berjaya memasuki universiti.

a. Berapakah Jumlah pelajar-pelajar Selangor yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi awam dan swasta dalam dan luar negara pada tahun ini?

b. Berapakah jumlah pelajar yang telah menerima Hadiah Pengajian IPT setakat ini?

Pertukaran Nama Pangsapuri

Penukaran nama Pangsapuri Petaling Perdana kepada Pangsapuri Petaling Permai bagi Skim Rumah Pangsa Kos Rendah 11 Blok di Jalan PJS 1/21, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian besar penduduk. Saya difahamkan penukaran ini dilakukan oleh ADUN Taman Medan pada 9 Jun 2008.

a. Apakah rasional penukaran nama ini sedangkan telah ramai pendudukan yang menggunakan nama Pangsapuri Petaling Perdana dalam surat menyurat, bil air, elektrik dan telefon serta juga kad pengenalan?

b. Apakah wajar ADUN Taman Medan membatalkan keputusan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Ogos 2007 lalu yang bersetuju kepada penggunaan nama Pangsapuri Petaling Perdana tanpa melalui proses yang sama?

Aset EXCO

Dalam Sidang DUN yang lepas YAB Menteri Besar telah berjanji untuk mendedahkan kepada awam aset yang dimiliki oleh semua EXCO selepas diaudit oleh Ernst & Young. Bilakah pendedahan ini akan dibuat?

Skim Air Percuma 20 meter padu

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi air percuma sebanyak 20 meter padu kepada penduduk Selangor melalui pembiayaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Bagaimapun masih ramai golongan yang berpendapatan rendah tidak menikmati faedah ini.

a. Bilakah kerajaan ingin memulakan program penggantian meter paip bersepadu di bangunan kediaman bertingkat (rumah pangsa, apartment dan kondominium) kepada meter individu. Perkara ini penting supaya golongan berpendapatan rendah mendapat air percuma seperti yang dijanjikan?

b. Bagaimanakah KDEB mendapatkan sumber kewangan untuk membayar jumlah air percuma tersebut kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) setiap bulan?

c. Berapa lamakah kewangan KDEB dapat bertahan?

Perlombongan Pasir

1. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengatasai isu curi pasir dan juga meningkatkan pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM 100 – 200 juta setahun melalui aktiviti

perlombongan pasir. Kerajaan negeri juga dilaporkan telah menubuhkan pasukan rakan pasir bagi membantu mengatasi isu curi pasir di negeri ini.

a. Berapakah jumlah kompaun yang telah dipungut oleh kerajaan negeri dalam tempoh empat bulan lepas memandangkan kejadian curi pasir berleluasa di negeri selangor?

b. Berapakah jumlah kenderaan atau jentera yang telah disita oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan ia berterusan?

c. Apakah perancangan dan dasar kerajaan negeri untuk menambah hasil kerajaan negeri melalui pasir seperti yang dijanjikan sebelum ini dan berapakah yang telah dipungut sehingga kini?

Levi Pekerja Asing

YAB Menteri Besar menyatakan kerajaan negeri akan memungut levi bagi pekerja asing di Selangor bagi menambah pendapatan. Melalui pembacaan akhbar, saya juga difahamkan Menteri Besar telah mengumumkan mempunyai kaedah untuk memungut levi tersebut tanpa perlu mendapat kebenaran
kerajaan pusat, dan dianggarkan negeri akan mendapat pendapatan tambahan sejumlah 160 juta untuk pembangunan belia.Apakah kedudukan dan perancangan kerajaan negeri untuk mengenakan levike atas pekerja-pekerja asing di Selangor?

Pengiring Bermotor Kepada YAB Menteri Besar

Saya difahamkan YAB Menteri Besar menggunakan empat orang pengiring bermotor persendirian tanpa kebenaran pihak Polis atau JPJ.

a. Apakah ini tidak melanggar undang-undang lalu lintas?

b. Berapakah jumlah elaun yang dibayar oleh anak syarikat negeri Selangor bagi tujuan tersebut?

Leave a Reply