Gerakan desak BN wujud kod etika
SUNGAI BULOH 7 Sept. - Gerakan akan meminta Barisan Nasional (BN) menggubal kod etika dan membentuk lembaga disiplin bagi memastikan anggota parti gabungan itu tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan anggota lain BN.
Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, beliau juga akan meminta Dewan Tertinggi BN memanggil mesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan perkara itu memandangkan perasaan tidak puas hati semakin meningkat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, BN ketika ini tidak mempunyai mekanisme tatatertib bagi mengawal tatalaku anggotanya walaupun semua parti komponennya mempunyai lembaga disiplin masing-masing.
Dewan Tertinggi BN dijangka bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan perkara itu.”Kita perlu ada prosedur yang jelas dan tegas bagi menangani perkara seperti itu dengan berkesan. Ia mestilah sesuatu yang mengatasi segalanya (perlembagaan setiap parti).
“Oleh itu, saya mencadangkan agar Dewan Tertinggi BN bermesyuarat dengan secepat mungkin, sekurang-kurangnya untuk mencapai persetujuan merangka kod etika parti gabungan ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Selangor di sini hari ini.
Tsu Koon menambah, apa yang dilakukan oleh BN sekarang dengan mengadakan pertemuan-pertemuan yang lebih kerap di peringkat Dewan Tertinggi BN dan Jawatankuasa Pengurusan BN adalah baik tetapi belum mencukupi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Gerakan sedang menetapkan tempoh masa untuk memberi ruang kepada parti-parti komponen BN terutama UMNO melakukan perubahan sebelum bertindak keluar daripada parti gabungan tersebut.
Beliau menegaskan, parti itu tidak boleh membuat keputusan secara tergesa-gesa kerana ia merupakan antara parti yang mengasaskan pembentukan BN.
“Sekiranya Gerakan tidak dapat memainkan peranan bermakna dalam BN, kita akan keluar daripada gabungan… bukan sekarang ataupun lima tahun lagi tetapi pada tempoh yang difikirkan munasabah,” katanya.
Beliau berkata, akar umbi Gerakan merasakan parti itu tidak diberikan peranan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi negara serta tidak dianggap sebagai rakan kongsi BN.
“Ahli-ahli di peringkat akar umbi menegaskan, mereka bukan pak turut dan mahukan peranan bermakna dalam BN bagi memastikan masalah yang dihadapi negara dan rakyat dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau menambah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah dimaklumkan bahawa terdapat tekanan dalam Gerakan agar parti itu keluar daripada BN.
Jelasnya, perkara itu dimaklumkan kepada Najib dalam perbualan telefon mereka semalam bahawa tekanan itu datang dari dalam parti.
“Saya menjelaskan kepada Najib dan juga sebelum ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta kepada pemimpin-pemimpin parti komponen lain bahawa terdapat banyak tekanan dalam parti supaya Gerakan keluar daripada BN,” katanya.
Sementara itu, pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Gerakan Selangor hari ini, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A. Kohilan Pillay menjadi pemimpin bukan Cina pertama dalam Gerakan memenangi jawatan Pengerusi Gerakan Negeri.
Kohilan, 41, menewaskan penyandang jawatan, Datuk Lum Weng Keong dengan memperoleh 187 undi berbanding Weng Keong yang mendapat 175 undi. - Utusan.


