Cerita Tsu Koon, Ahmad dan Chin Meng dalam senario politik hari ini
PERDANA Menteri, Datuk (PM), Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini.
Ingatan ini dibuat ekoran kenyataan beberapa pihak, ketika mengulas berita yang mendakwa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail menyifatkan orang Cina adalah penumpang di negara ini dan tidak boleh menuntut hak sama rata dengan orang-orang Melayu.
Apa yang menarik, hanya sebuah akhbar berbahasa Cina sahaja yang mula-mula melaporkan ucapan Ahmad itu, kemudiannya menarik perhatian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membuat desakan supaya tindakan dikenakan terhadap Ahmad.
Kemudiannya, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menyahut kenyataan Guan Eng itu diikuti Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin Cina lain.
Apa maknanya ’sensasi’? Sensasi ialah ‘menjadikan sesuatu kejadian itu mengemparkan hingga membangkitkan perasaan ingin tahu’. Ingatan PM ini dibuat selepas PM mendapat penjelasan sepenuhnya dari Ahmad sendiri dan PM menyifatkan cerita ini ‘tersalah lapor’ oleh media.
Namun demikian, akhbar Star memetik kenyataan Ketua Editor Sin Chew Jit Poh, akhbar yang mula-mula melaporkan ucapan Ahmad itu, Pook Ah Lek tetap mempertahankan laporan yang dibuat pemberitanya dan tidak akan memohon maaf kepada mana-mana pihak.
Ahmad, sebelum itu menegaskan dia tidak akan memohon maaf sebaliknya meminta pemberita yang disifatkannya mempunyai agenda sendiri supaya berbuat demikian kepada dirinya, keluarganya, kawan-kawannya dan seluruh masyarakat yang terkeliru.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mahukan Ahmad tidak bercakap lagi isu serupa kerana ia tidak mengutungkan Barisan Nasional (BN).
“Akur sahajalah permintaan TPM dan PM yang mahukan ianya diselesaikan,” kata Nazri yang menyifatkan Ahmad bukan guru sejarah untuk bercakap soal tersebut.
Apabila PM sudah mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu ini, mereka yang terlibat dalam ‘ketegangan sementara’ ini seharusnya melupakan sahaja isu ini kerana ‘musuh mereka’ bukan Ahmad, sebaliknya ‘tauke gula-gula’ yang mahu menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, 16 September ini.
Rugi masa dan tenaga Tsu Koon, jika masa dan tenaga yang ada sepatutnya digunakan melawan Guan Eng yang sedang berusaha mencemarkan reputasinya sebagai bekas KM Pulau Pinang dan tauke gula-gula, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasangan idealnya, Mohd Azmin Ali, MP Gombak.
Begitu juga Ahmad, dia tidak perlu beria-ia mempertahankan ‘kebenarannya’ kerana memang betul seperti kata Nazri, dia bukan guru sejarah dan sepatutnya akur sahaja dengan arahan PM dan TPM, supaya memohon maaf dan memberi penjelasan.
Musuh Ahmad bukan Gerakan, bukan Tsu Koo, bukan MCA dan bukan Ka Ting. Ahmad sebenarnya ‘bermusuh’ dengan PKR, DAP dan Pas yang sedang berusaha ‘memijak Umno dan BN’ ekoran kemenangan mereka dalam PRU 12, 8 Mac yang lalu.
Jika Ahmad ‘pandai sejarah’, gunakan untuk menceritakan kepada orang-orang Melayu, atas sebab apa PKR ditubuhkan. Siapa sebenarnya DAP dan mengapa Pas lahir dari ‘perut Umno’ untuk memberi kesedaran kepada orang-orang Melayu, pentingnya memperkuatkan Umno dan BN daripada bertelagah sama-sama sendiri.
Jika Tsu Koon dan Ahmad boleh ‘berdamai’, cadangkan kepada Ka Ting supaya memberi peringatan sedikit kepada Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng supaya dia membuka semula ucapan Presiden MCA sekitar tahun 1957-1958, yang mengucapkan terima kasih kepada Tunku Abdul Rahman Putra (Allahyarham) kerana kesediaan memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang Cina..
Ingatkan juga Chin Meng, bahawa kerja membawa masuk MCA ke dalam Perikatan dan BN adalah kerja bekas pemimpin besar mereka yang memikirkan nasib anak bangsanya 50, 100 dan 1,000 tahun lagi. Tetapi cadangan membawa keluar MCA dari BN adalah cadangan seminggu dua, atau sebulan dua yang tidak memikirkan nasib anak bangsa mereka.
Chin Meng mungkin kecewa dengan prestasi MCA di Perak dalam PRU 12 yang lalu. Kekecewaan itu juga ada pada semua pemimpin Umno, Gerakan dan PPP. MCA yang tewas kesemua kerusi DUN, kecuali satu di DUN Chenderiang di bawah Parlimen Tapah dan tiga kerusi Parlimen, Lumut, Kampar dan Tanjung Malim sahaja.
Sepatutnya kekecewaan Ching Meng diubati dengan satu pelan tindakan untuk memenangi semula kesemua kerusi yang diperuntukan kepada MCA, dirampas kembali dari tangan pembangkang.
Begitu juga Tsu Koon, sepatutnya kekecewaan yang ada tidak dicurahkan kepada Umno semata-mata kerana kekalahan Gerakan di Perak juga sebenarnya mengejutkan kerana bekas Presiden, Dr Lim Keng Yeik ‘berabad’ menguasai kerusi Parlimen Bruas, yang akhirnya kini dimenangi DAP.
Kekalahan calon Gerakan di Parlimen Bruas turut ‘membawa’ kemenangan hanya dengan majority 14 undi sahaja calon BN di DUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar mengalahkan calon Pas, Abu Bakar Hussin.
Malangnya, mereka yang masih muda di dalam MCA berdarah panas. Kepala mereka, lebih kepada mahu menyalahkan orang lain daripada ‘merayu’ pengundi supaya kembali ke pangkuan BN.
Malangnya sungguh BN ketika ini. Semua parti komponen dilihat gagal untuk ‘menguruskan kekalahan’. Masing-masing membawa ke arah ‘mencari perpecahan’ daripada mencari ‘penyatuan’.
Tidak hairanlah, kalau Pakatan Rakyat ‘ketawa berdekah-dekah’ melihat BN sekarang. Ketika pemimpin mereka yang dikenali dengan gelaran ‘tauke gula-gula’ menghadapi dakwaan meliwat bekas pembancuh kopi, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dia masih boleh menambah undi ketika bertanding atas tiket PKR di Permatang Pauh.




Persoalan UMNO dan BN kusut selepas dilanda tsunami, dikuti gempa susulan, badai dan bermacam bala…
Saya tidak setuju dengan artikel ini, bagi saya Datuk Ahmad merupakan pejuang Melayu Islam tulen kita ramai lagi pemimpin yang berani seperti ini. Adakah Melayu ingin jadi macam Red Indian di Amerika? dimana kaum pendatang mendominasi ekonomi dan politik..Realiti hari ini orang cina menguasai ekonomi dan cuba menguasai politik………sedarlah melayu semua..kita menerima mereka sebagi warganegara tidak bererti kita memberi laluan untuk menghapuskan islam dan hak istimewa orang melayu……..
SOKONG AHMAD
di sabah dan sarawak, ramai kaum-kaum pribumi tidak mengalami keistimewaan yang dikecapi oleh rakyat jelat yang lain. Tiada letrik, tiada bekalan air, tiada sekolah yang berkelengkapan penuh. Siapkah yang memerintah disana?