BN Sarawak Yakin Tiada Anggota Akan Sertai Pakatan Rakyat
KUCHING, 4 Sept (Bernama) — Empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak berkeyakinan bahawa tidak ada daripada kalangan Anggota Parlimen mereka yang berkemungkinan menyertai Pakatan Rakyat pada 16 Sept ini kerana mereka tidak akan “menukar prinsip demi keuntungan jangka pendek”.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing hari ini berkata pembangkang, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), tersilap jika mereka menyangkakan Anggota Parlimen BN boleh dibeli supaya meninggalkan gagasan itu bagi membentuk kerajaan baru yang diketuai oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia (pembelotan) tidak mungkin belaku. Saya telah bercakap dengan kesemua enam Anggota Parlimen daripada PRS, iaitu wakil rakyat yang mempunyai prinsip dan tidak akan menukar prinsip demi keuntungan jangka pendek,” kata Dr Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, kepada Bernama di sini.
“Bagi PRS, kami tidak akan bergerak ke mana-mana. Kami bergerak bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi BN pusat,” katanya sambil menambah pembangkang perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi pada pilihan raya umum 8 Mac.
Beliau berkata Anwar, yang sebelum ini mendakwa akan menjadi Perdana Menteri menjelang 16 Sept, perlu menghormati mandat itu sama seperti kemenangannya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos yang dihormati oleh BN.
Sementara itu Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nyarok berkata parti itu, termasuk empat Anggota Parlimennya, telah mengikrarkan sokongan mereka kepada BN yang dipimpin Abdullah di peringkat persekutuan dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Pengerusi BN negeri.
“Tidak timbul persoalan mengenainya (melompat parti). Kami tidak menyokong Anwar dan kami tidak akan melompat parti walau dengan apa cara sekalipun,” katanya kepada Bernama, sambil menambah SPDP menyokong teguh BN, yang memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam pilihan raya lepas.
Ditanya sama ada dakwaan seperti itu mungkin berlaku, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan berkata semua orang ada impian.
“Semua orang ada impian. Saya ada impian. Beliau (Anwar) ada impian. Perkara itu tidak mungkin,” kata Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri.
SUPP, rakan kedua terbesar BN Sarawak, memenangi enam kerusi Parlimen tetapi kalah kerusi Bandar Kuching dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) iaitu tunjang BN Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata beliau yakin kesemua 14 Anggota Parlimen PBB dan 35 Anggota Dewan Undangan Negeri akan kekal setia kepada BN.
“Saya pasti anggota PBB sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri masih kekal setia kepada BN dan kalau ada khabar angin yang mengatakan 40 Anggota Parlimen BN akan sertai Pakatan Rakyat, itu tidak betul,” kata Daud, yang juga Menteri Muda Sarawak yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam.
Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Fadillah Yusof, yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, berkata langkah Pakatan Rakyat untuk memujuk Anggota Parlimen BN supaya menyertai pembangkang adalah bukti bahawa mereka tidak berpegang kepada prinsip mereka sendiri berhubung hak rakyat.
“Walaupun BN tidak mendapat majoriti dua pertiga namun keputusan rakyat tetap kepada BN dan kemenangan daripada rakyat ini seharusnya dihormati dan bukannya berjuang untuk kepentingan individu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
– BERNAMA


