Bangkok darurat
BANGKOK 2 Sept. – Perdana Menteri, Samak Sundaravej mengisytiharkan perintah darurat ekoran pertempuran antara penyokong dan kumpulan antikerajaan yang mengakibatkan seorang terbunuh hari ini.
Perintah darurat itu, yang kali terakhir dikuatkuasakan semasa pihak tentera menggulingkan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra pada 19 September 2006, tidak akan menjejaskan kehidupan harian rakyat, kata Samak pada sidang akhbar.
Katanya, Panglima Tentera Darat, Jeneral Anupong Paojinda akan bertanggungjawab mengawal keselamatan.
“Kerajaan mengisytiharkan perintah darurat kerana kita mahu mengelak lebih banyak pertempuran ganas dan bagi mengembalikan keamanan dan ketenteraman. Ia hanya akan dikuatkuasakan untuk beberapa hari saja,” kata Samak.
Pejabat beliau telah diserbu pada 26 Ogos lalu oleh beribu-ribu penyokong gerakan antikerajaan dikenali Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD).
Sambil meminta supaya PAD segera mengosongkan bangunan kerajaan, Samak berkata, beliau hairan mengapa rakyat terus menyalahkan kerajaan berhubung krisis politik sedangkan tidak ada sesiapapun yang berani mengutuk PAD yang mencetuskan masalah tersebut.
Ratusan anggota polis dan tentera yang dikerah bagi mengawal keadaan selepas pertempuran pada pukul 1 pagi ini, telah diarah meninggalkan Jamabatan Makkawan di luar bangunan kerajaan, yang menjadi tempat pertempuran antara penyokong kerajaan dan anggota PAD.
Beberapa tembakan dilepaskan dalam pertempuran itu. Penyokong kedua-dua pihak saling menyerang menggunakan kayu, paip, topi keledar dan batu.
Akibat tindakan PAD menyerbu bangunan kerajaan itu, Kabinet mengadakan mesyuarat mingguannya di ibu pejabat tentera, manakala 436 sekolah di bandar raya ditutup tiga hari. Universiti pula meminta pelajarnya tidak hadir ke kelas masing-masing.
Jutawan media, Sondhi Limthongkul, yang mengetuai tunjuk perasaan pada 2006 sehingga Thaksin digulingkan, berkata, PAD akan terus berada di perkarangan pejabat Perdana Menteri walaupun setelah perintah darurat diisytiharkan.
“Kita tidak akan berganjak sehingga Samak letak jawatan,” katanya kepada ratusan orang kebanyakannya wanita yang berada di perkarangan itu sejak lapan hari lepas.
Samak, bagaimanapun, menghadapi satu lagi masalah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini bersetuju untuk meminta Mahkamah Perlembagaan membubarkan partinya, Parti Kuasa Rakyat (PPP) kerana kesalahan penipuan dalam pilihan raya tahun lalu yang dilakukan oleh bekas Speaker Parlimen, Yongyuth Tiyapairat.
Parti sebelum PPP, Thai Rak Thai yang ditubuhkan oleh Thaksin dibubarkan oleh mahkamah pada 2007 juga kerana kesalahan serupa.
– Bernama



