Adnan pertimbang secara serius bertanding Ketua Pemuda

KUANTAN 3 Sept. – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sedang menimbang semula secara serius kemungkinan untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu Disember ini.

Menurutnya, beliau menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak dari seluruh negara supaya bertanding jawatan tersebut pada pemilihan akan datang.

‘‘Ramai suruh saya bertanding Ketua Pemuda. Saya dapat panggilan seluruh negara terutama selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu.

“Tengoklah, saya akan pertimbangkan. Saya sedang memikirkan secara serius,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Pada Mei lalu, kesemua 14 bahagian Pemuda UMNO Pahang menyokong Adnan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, pihaknya beranggapan Adnan calon terbaik bagi mengisi jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang berkarisma dan memiliki personaliti tegas serta sesuai bagi mengawal golongan muda dalam parti.

Bagaimanapun, Adnan, 58, menegaskan, beliau tidak berminat untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO atas pelbagai faktor termasuk usia.

Menteri Besar Pahang itu kemudiannya mengumumkan bertanding untuk jawatan naib presiden, tetapi menarik diri dengan alasan berlaku amalan rasuah yang berleluasa dalam proses pemilihan parti kali ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan itu.

Selain itu, dua lagi calon yang disebut-sebut ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO akan dikosongkan berikutan ketuanya, Datuk Seri HIshammuddin Tun Hussein tidak akan mempertahankannya pada pemilihan parti Disember ini.

Adnan yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menggesa beliau bertanding jawatan tertinggi sayap parti itu menggambarkan hasrat ahli-ahli Pemuda UMNO yang inginkan perubahan.

“Walaupun saya tidak mengambil kira sangat panggilan dan SMS itu tetapi ia sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai hasrat ahli-ahli Pemuda UMNO,” katanya.

Tegas beliau, antara perkara yang sedang dipertimbangkan termasuk daripada segi umur, kemampuan, kelayakan dan kapasiti sebelum membuat keputusan muktamad untuk bertanding jawatan itu atau sebaliknya.

“Namun kita jangan lupa bahawa Datuk Harun Idris pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada usia 60-an suatu ketika dulu,” jelasnya.

Setidak-tidaknya, tambah beliau, penawaran dirinya nanti dapat memeriahkan lagi pertandingan bagi merebut jawatan tersebut.

“Lebih ramai bertanding lebih elok. Empat calon untuk bertanding satu jawatan dikira munasabah jika dibandingkan jawatan Naib Presiden UMNO yang akan ditandingi berbelas-belas calon,” katanya.

Leave a Reply