Dr Khir dakwa MB Selangor bohong tak lantik orang politik Ketua Kampung
Janji lain, buat lain. Dulu kata hendak ada adakan pemilihan bagi jawatan ketua kampung di Selangor tetapi ramai kroni daripada PKR dan PAS yang dipilih.Ini satu lagi pembohongan serta janji yang gagal dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Beliau mendakwa Khalid berbohong apabila mengatakan semua ketua kampung yang dilantik tidak memegang jawatan politik kononnya mengelak unsur pilih kasih tetapi bukan sahaja pemimpin dan ahli parti dipilih tetapi orang luar turut dilantik ke jawatan itu.
“Dulu Khalid janji nak buat pemilihan tetapi saya dapat tahu ketua-ketua cawangan PAS dan PKR dipanggil untuk ditemuduga oleh Exco. Sebahagian pula yang dipilih bukan orang kampong berkenaan,” katanya kepada Agendadadaily Ahad.
Dr Mohamad Khir berkata, ketua kampung di Parit 8 dan Pasir Panjang dalam kawasannya adalah orang luar.“Mereka ini tak ada jawatankuasa malah tak cukup korum untuk mesyuarat dan bergerak,” katanya.
Mantan Menteri Besar itu diminta mengulas langkah Kerajaan Selangor menetapkan semua ketua kampung tidak memegang jawatan dalam parti politik bagi memastikan perkhidmatan mereka tiada unsur pilih kasih atau mementingkan kelompok tertentu sahaja.
Khalid menegaskan perkara itu ketika menyampaikan surat pelantikan 366 ketua kampung, Sabtu.
Menurut Dr Mohamad Khir, Menteri Besar itu tidak menunaikan janji kepada orang ramai terutama penduduk kampung untuk membuat pemilihan bagi jawatan berkenaan.
“Dulu dia tuduh pemimpin Barisan Nasional erogan, kini beliau sendiri erogan. Pelantikan ini adalah hadiah kepada kroni PKR, PAS dan DAP yang bantu mereka pada pilihan raya umum lalu. Ini rasuah politik yang jelas,” katanya.
Tambahnya, lebih baik jika Khalid menuruti langkah kerajaan BN dengan membenarkan pelantikan ketua kampong dikalangan pemimpin parti tanpa perlu berdolak dalih seperti sekarang.
Beliau turut kecewa langkah menaikkan elaun ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor seperti diumumkan kerajaan negeri bulan lalu.
“Mereka baru saja dilantik, belum buat kerja lagi tetapi elaun sudah dinaikkan. Ini tak termasuk mereka yang dilantik ada rekod jenayah serta orang luar turut dilantik ahli majlis,” katanya.
Sebagai contoh menurut Dr Mohamad Khir, di Kuala Selangor sahaja, tujuh ahli majlis adalah orang luar.
Bagi daerah Sabak Bernam seramai 79 ketua kampung dilantik diikuti Kuala Selangor (55), Gombak (35), Kuala Langat (34), Klang (33), Hulu Selangor (33), Petaling (19) dan Sepang (19).
Bagaimanapun, dua kampung di Hulu Langat iaitu Kampung Seri Jambu dan Kampung Sungai Batu masih tidak mempunyai ketua kampung kerana pencalonan masih belum diberikan kepada kerajaan negeri untuk proses temuduga



