BN Boikot Pilihan Raya Permatang Pauh?

Oleh Saiful Malek Muda

MEMBOIKOT pillihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh (PPP), seperti cadangan seorang pemimpin Umno, bolehlah dianggap sebagai ‘cuba mengaku kalah’ sebelum berperang. Cadangan ini sebenarnya tidak menunjukkan kebijaksanaan.

Walaupun pemboikotan itu tidak mungkin terjadi, tetapi pemikiran dari seorang pemimpin Umno seperti ini, adalah pemikiran bahaya dan penakut, yang tidak harus ada pada seorang pemimpin seperti dia, tetapi sedikit sebanyak, orang ramai akan dapat menilai Umno – dipenuhi dengan pemimpin yang penakut atau pengecut.

“Kena lawan,” memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamad Nazri Tan Sri Aziz perlu menjadi pegangan semua pemimpin Umno, khususnya di peringkat cawangan dan bahagian. Umno sebenarnya memerlukan pemimpin yang berani seperti Nazri.

“Pertahankan maruah,” Mohd Ezam Mohd Nor dipetik sebagai berkata demikian. Jesteru, maruah yang dimaksudkan Mohd Ezam ialah maruah parti, kerajaan, bangsa, agama dan negara. Maka menjadi tugas dan tangungjawab kita semua untuk berganding bahu, melupakan semua sengketa bagi mempertahankan maruah yang disbeut Mohd Ezam ini.

Bila Timbalan Perdana Menteri (TPM) mengakui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menyeret rakyat dan pengundi di PPP terlibat sama dalam kes jenayah yang dihadapinya, Anwar pula terus dengan lincah mengaitkan ramai orang dan banyak pihak kononnya dia dianiaya dan dakwaan (liwat) ini adalah usaha menghalangnya menjadi Perdana Menteri (PM), 16 September depan.

Ketika banyak pihak tidak percaya dengan dakwaan Anwar, yang dia akan menjadi PM 16 Disember depan, Anwar sebenarnya mahu mengajak rakyat supaya jangan percaya dengan dakwaan dia meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika kepimpinan GPMS melahirkan rasa kesalnya terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang ‘menjadikan kerusi PPPnya sebagai lambang kasih sayang’, ada juga pihak yang menyifatkan Wan Azizah sebenarnya ‘mahu melarikan diri’ dari berhadapan dengan wartawan dan soalan-soalan yang menyentuh isu liwat.

Ketua Pengerakan Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz sudah mula mengarahkan Wanita bergerak di PPP, diikuti dengan Pergerakan Puteri dan Pemuda, mungkin ada pemimpin Umno, khususnya yang mencadangkan supaya BN memboikot PRK ini, tidak akan menghadirkan diri untuk membantu calon BN.

Malahan, lebih merisaukan, mampukan BN khususnya Umno mengenepikan masalah dalaman, melupakan soal pertandingan di bahagian itu sebaliknya memberikan tumpuan ke arah memenangi kerusi PPP dari tangan pembangkang.

Tiada hebatnya Anwar Ibrahim sekarang jika dibandingkan dengan 10 tahun dahulu, ketika dia menjadi TPM. Hebatnya dia, kerana dia menyembunyikan diri di Kedutaan Turki, membuat report polis terhadap IGP, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan berjaya menganjurkan siding akhbar yang dihadiri penyiasat persendirian Balasundram.

Ketika pengundi PPP berkira-kira mahu memberikan undi mereka kepada PKR, apa kata jika mereka memikirkannya semula, bukan kerana Anwar atau sesiapa, tetapi kerana memberi ’satu pengajaran’ kepada sesiapa sahaja yang duduk dalam PKR, bahawa kepercayaan rakyat bukan untuk mereka mempermain-mainkannya.

Bagi kepimpinan Umno di PPP, janganlah timbulkan cerita ‘anak tempatan’ atau orang luar, begitu juga dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana; Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai ‘hak sepenuhnya’ untuk menentukan calon – setelah merujuk kepada bahagian.

Bekas-bekas calon BN (Umno) yang pernah tiga kali tewas di sini iaitu Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan Datuk Firdaus Ismail, berikanlah sepenuh kerjasama kepada BN (Umno) untuk berhadapan dengan Anwar – seboleh-bolehnya jangan hanya bersyarah dan berucap di merata tempat sebaliknya berjalan dari rumah ke rumah untuk meraih sokongan dan undi.

Kepimpinan MCA, PPP, MIC, Gerakan dan semua simpatisan BN, termasuk MIUP pimpinan Datuk Nallakaruppan dan IPF, seharusnya turun lebih awal, untuk member sokongan moral kepada BN yang akan berhadapan dengan Anwar – PKR,DAP dan Pas yang sudah tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan Umno.

Anwar tidak hebat mana apabila Umno bersatu. Anwar akan hilang hebatnya apabila Mohd Ezam dan Datuk Nalla bersama. Anwar akan hilang hebatnya jika Saiful Bukhari sanggup menjunjung Quran bersumpah, Anwar akan hilang hebatnya apabila berdepan dengan MCA, Gerakan, MIC dan PPP yang berpimpin tangan berhadapan dengannya.

Leave a Reply