Jangan terlalu julang Chelsea
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak terlalu menghormati pemain Chelsea apabila turun beraksi pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam esok.
Katanya, pemain negara perlu lebih berani bertindak dan mengambil kesempatan bukannya terlalu mengagumi pemain-pemain bertaraf dunia Chelsea yang bakal mereka hadapi.
“Itu yang saya tekankan dalam latihan hari ini (semalam) supaya pemain kita lebih berani memegang bola dan mengatur gerakan apabila ada peluang.
“Jangan pandang tinggi sangat mereka. Yang penting dapat main dengan baik dan beri tentangan kuat kepada Chelsea.
“Buktikan pemain dari Malaysia juga ada kebolehan dan bakat besar dalam bola sepak,” katanya, semalam.
Namun, Sathianathan tetap tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya dengan kemenangan besar yang dicatat Chelsea dalam dua perlawanan persahabatan terdahulu di China dan Macau.
Katanya, China yang mutu bola sepaknya lebih tinggi berbanding Malaysia, begitu mudah dibelasah Chelsea.
Sehubungan itu, beliau berusaha mengemaskini dan mendisiplinkan khususnya bahagian pertahanan dalam latihan semalam.
“Saya lebih tekankan mengawal pergerakan bola antara bahagian pertahanan dan tengah hari ini supaya pemain kita ampuh bertahan dan menyerang.
“Tujuan saya supaya mereka dapat simpan tetapi tidak hilang bola, bertahan dan menyerang secara bersama-sama.
“Perlu diingat Chelsea kalau dapat bola, mereka suka simpan lama. Jadi itu kita kena sekat,” tegasnya.
Sathianathan bagaimanapun belum dapat memutuskan kesebelasan utama yang bakal diturunkannya esok.
Namun, untuk mencari gol, beliau mempertaruhkan kepada empat pemain iaitu Hairuddin Omar, Safee Sali, Nizaruddin Yusof dan Mohd. Zaquan Adha Razak.
“Kita tidak akan bermain secara bertahan sebaliknya akan tetap menyerang jika dapat menguasai bola,” ujarnya.


