RM6.4j peruntukan atap bagi keluarga miskin
Kebajikan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu keluarga miskin negeri tersebut seharusnya dicontohi oleh kerajaan Negeri Selangor yang mengumumkan bahawa mereka meluluskan peruntukan penternakan babi secara besar-besaran baru-baru ini.Kerajaan Terengganu telah meluluskan peruntukan serta-merta berjumlah RM6.4 juta bagi membantu keluarga miskin di negeri ini membaik pulih bumbung-bumbung rumah mereka dengan menggantikan bumbung-bumbung atap zink atau nipah yang telah rosak kepada atap asbestos.
Peruntukan yang diberikan sama rata dikesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu sebanyak RM200,000 akan diagihkan menerusi wakil-wakil rakyat manakala kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat dari kalangan pembangkang pula akan diserahkan kepada pegawai penyelaras DUN.
Selain itu Kerajaan Negeri Terengganu juga akan mewartakan enam kawasan di Pulau Redang sebagai santuari penyu dalam usaha untuk memelihara spesies itu yang diancam kepupusan.
Ia amat berlainan sekali jika hendak dibandingkan dengan perancangan yang ternyata ‘bias’ yang dilakukan oleh kerajaan Selangor di mana hanya satu pihak sahaja yang akan mendapat faedah daripada projek yang menelan nilai jutaan ringgit itu selain daripada bantahan daripada segenap penduduk setempat.
Seharusnya sebagai kerajaan yang memerintah sesebuah negeri, keseimbangan seharusnya dicapai bagi memuaskan hati penduduk pelbagai kaum di negeri terbabit. Sensitiviti setiap kaum seharusnya diambil kira dan tidak boleh dipandang remeh. Ini bagi memudahkan perjalanan sesuatu projek agar ia berjalan lancar.
Rakyat pasti tidak akan membantah jika projek dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri akan mendatangkan faedah buat mereka dan tidak mengundang kemudaratan buat mana-mana pihak. Jika terdapat bantahan daripada satu pihak sekalipun, ini bermakna tindakan yang diambil itu tidak wajar dilaksanakan dan harus diselidik kembali.


