Mulakan khidmat - Hentikan berpolitik

Sudah genap sebulan pilihanraya ke-12 berlalu namun masih ada golongan yang tidak habis-habis mahu bermain politik semata-mata dan langsung tidak menghiraukan tanggungjawab yang seharusnya diutamakan.

Masa untuk berpolitik seharusnya sudah ditamatkan dan kini tiba pula masa untuk bekerja dan memberikan khidmat kepada rakyat. Namun, tindakan 10 anggota Parlimen Kuala Lumpur dari parti pembangkang masih berdegil dan enggan memberikan kerjasama.

Mereka masih tidak mahu berhenti bermain politik dan memperkecilkan pula usaha dan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique untuk mula bekerjasama dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat terhadap mereka.

Perbincangan yang bertujuan untuk merancang dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan negeri itu sebaliknya diperlekehkan oleh mereka dengan mengatakan ia tidak ubah seperti satu majlis suai kenal dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Nampaknya mereka lebih mementingkan hal berpolitik daripada bekerjasama bagi menampilkan khidmat yang baik kepada rakyat yang telah memilih wakil mereka ke Parlimen.

Kelakuan seperti ini amat memalukan dan merugikan rakyat yang memilih mereka sebagai ahli Parlimen. Tidak bermakna mereka berada dipihak pembangkang, segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri demi kebaikan rakyat harus dibangkang juga.

Usahlah bersikap bodoh sombong dan hentikanlah bermain politik. Mulakanlah berkhidmat dan berbuat sesuatu yang baik kepada penduduk Kuala Lumpur yang telah memilih anda.

Leave a Reply