Istana panggil Adun bincang MB Terengganu

Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) mengadakan mesyuarat di Istana Terengganu di sini semalam, dipercayai membincangkan kedudukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk mendapat maklumat mengenai keputusan mesyuarat itu menemui jalan buntu kerana tiada pihak bersedia memaklumkan mengenainya.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said dan beberapa Ketua Bahagian Umno dari Terengganu turut dipanggil oleh majlis itu, dipercayai bagi mendapatkan pandangan mengenai isu pelantikan Menteri Besar.

Tiga kereta dilihat keluar dari perkarangan istana pada jam 1.30 petang meninggalkan kumpulan wartawan yang menunggu di luar istana itu sejak jam 10 pagi.

Ahmad adalah antara nama yang disebut sebagai Menteri Besar jika Idris tidak dilantik semula menduduki jawatan itu. Nama lain ialah Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Chukai, Datuk Mohd Awang Tera.

Tiga kereta dilihat keluar dari pekarangan istana pada jam 1.30 petang meninggalkan kumpulan wartawan yang menunggu di luar istana itu sejak jam 10 pagi.

Majlis angkat sumpah Idris sebagai Menteri Besar yang dijadualkan 10 Mac lalu ditangguhkan pada saat akhir sehingga menimbulkan spekulasi pelantikannya untuk penggal kedua tidak mendapat perkenan istana.

Kelmarin, perjumpaan 23 Adun BN Terengganu dengan MPPR yang dijadual berlangsung di Putrajaya, dibatalkan pada saat akhir.

Pembatalan itu dibuat Pengelola Istana, Mohd Yasim Awang pada jam 9 pagi, kira-kira dua jam setengah sebelum perjumpaan diadakan di sebuah hotel di sana. Bagaimanapun, sebab pembatalan itu tidak dinyatakan.

Berikutan pembatalan itu, 23 Adun berkenaan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di Putrajaya, dipercayai bagi menyatakan sokongan supaya Idris dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Di KUALA TERENGGANU, Idris berkata, beliau belum menerima berita mengenai pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Saya tidak mendapat apa-apa berita mengenai pelantikan Menteri Besar, tetapi tak tahulah jika pihak media sudah menerima maklumat mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua mangsa keganasan penyokong pembangkang di Kampung Sungai Kerak, di sini, semalam.

Idris berkata, hanya seorang daripada 23 Adun Terengganu tidak menandatangani surat sokongan supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Katanya, sebagai pemimpin yang mengutamakan perpaduan dan kestabilan parti, beliau sudah bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memenangi 24 daripada 32 kerusi DUN, manakala lapan lagi dimenangi Pas.

Sementara itu, Rosol yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, belum ada maklumat terkini mengenai pelantikan Menteri Besar yang baru.

“Belum ada perkembangan. Kita sudah bertemu dan menyampaikan mandat rakyat kepada Perdana Menteri kelmarin,” katanya ketika dihubungi.

Leave a Reply